Monday, February 19, 2007

PAS MELANCAR KELAB PENYOKONG PAS KAUM INDIA

PAS terus melangkah ke depan dalam usahanya membina jaringan hubungan dengan semua kelompok masyarakat di Malaysia. Pada 15hb Februari lalu, Kelab Penyokong PAS kaum India dilancar oleh Naib Presiden PAS, Hj Muhammad Sabu di Kuala Lumpur.
Wakil kaum India dari serata negara menghadiri majlis tersebut. Wakil dari Kuala Krai, Kelantan sangat ghairah memuji kebaikan Kerajaan PAS Negeri Kelantan. Mereka sangat terhutang budi kepada kerajaan negeri yang sejak PAS mengambil alih telah banyak membantu memperbaiki taraf hidup golongan tersebut. Menurut N. Gobalakrishnan, kaum India telah lama dianaktiri oleh kerajaan BN yang sekian lama memerintah Kelantan. 'Mereka seperti diperlakukan seperti orang Asli,' kata Gobalakrishnan.
Dalam ucapannya Gobala menyatakan 'satu jambatan ke bulan' dibina pada malam pelancaran itu kerana kaum India memerlukan satu payung untuk berlindung kerana UMNO yang menjadi tunggak kerajaan BN tidak boleh diharap. Gobalakrishnan menyatakan beliau dan ahli-ahli Kelab akan membuat 'roadshow' seluruh negara untuk menyatakan sokongan mereka kepada PAS dan untuk menerangkan sebab mereka membuat keputusan untuk menyertai Kelab Penyokong PAS.
Turut hadir ialah ahli-ahli Kelab Penyokong PAS kaum Tionghua. Pengerusi Kelab Penyokong PAS Nasional, En. Hu Pang Chaw melempar soalan yang sangat relevan khusus kepada kaum Melayu, "sekarang orang Tionghua sudah sokong PAS, orang India pun sokong PAS, kenapa orang Melyu pula tidak sokong PAS?" Ucapannya itu telah mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Kelab Penyokong PAS adalah di antara projek Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat untuk memperkasakan kolaborasi dengan pelbagai kaum di seluruh negara.

No comments: