Thursday, February 22, 2007

Nasib rakyat Malaysia seperti ikan duri!


Pengail memotong mulut ikan duri untuk melepaskan mata kailnya supaya boleh digunakan semula untuk memancing ikan seterusnya.
Untuk mendapat ikan duri ini si pengail telah bersusah payah meninggalkan rumah berbekalkan umpan yang terdiri dari ikan kecil atau udang. Maknanya mesti ada modal dulu. Perlu ada sedikit pengorbanan. Mesti sanggup bersabar dan menggunakan taktik yang betul. Apabila ikan sudah menghampiri dan menarik umpan pula perlu dibiarkan sebentar supaya ikan 'yakin' ia selamat untuk ditelan. Tidak boleh sentap terus kerana lazimnya ikan boleh terlepas dengan mudah apabila ia belum menelan umpannya dengan betul. Namun hasil kesabaran tadi jelas nampak dalam kes si pengail di atas. Ikan dapat sehingga begitu susah pula untuk mengeluarkan mata kail daripada perut ikan.
Sebagai 'mind jogger' kita boleh kiaskan proses memancing ikan duri dengan proses mengumpan rakyat yang digunakan oleh pihak tertentu untuk memastikan kelangsungan kuasa memerintah mereka atau lebih tepat lagi mempastikan kekayaan negara berligar di kalangan diri dan keluarga mereka. Lihatlah sahaja pemegang / pemilik syarikat yang kaya raya. Mereka ini pasti dikaitkan dengan hubungan akrab dengan tokoh-tokoh politik parti yang memerintah. Intai pula sanak saudara menteri-menteri serta mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan. Rata-rata mereka ini hidup mewah. Bagaimana dengan kroni-kroni mereka? Dua kali lima.
Persoalan asas bagi kita sebagai pembayar cukai dan rakyat biasa yang perlu diajukan kepada mereka yang telah diberi mandat untuk memimpin negara ialah bagaimana golongan di atas boleh mengaut untung dengan mudah dan pantas sedang rakyat jelata terbelenggu dengan keperitan hidup yang berkait rapat dengan kos hidup yang tinggi dan kemelesetan ekonomi yang memaksa pasangan suami isteri membanting tulang, dipaksa bekerja lebih masa atau melakukan dua pekerjaan untuk mengisi perut ahli keluarga. Walau apapun yang diperkatakan oleh pakar ekonomi dan pimpinan tertinggi kerajaan, yang jelas banyak syarikat-syarikat yang gulung tikar atau sekurang-kurangnya downsizing dan melaksanakan skim VSS atau MSS. Lihatlah apa yang terjadi kepada Proton, Sony Ericson, Matshushita dan sebagainya.

Kenapakah kerajaan Malaysia TIDAK MAHU menurunkan harga petrol sedangkan harga minyak mentah dunia telah turun ke USD50 setong? Bukankah dengan menurunkan harga petrol akan mengurangkan beban rakyat? Nak kaji apa lagi! Nak tunggu Pilihanraya Umum ke12 baru nak turunkan harga petrol? Nak jadikan petrol sebagai umpan pilihanraya.

Bukankah rakyat ini yang menaikkan mereka ke kerusi pentadbiran negara pada 21/3/04 yang lalu? Mengapa begitu TIDAK PERIHATIN kepada kebajikan rakyat? Kenapakah rakyat sampai terdesak berhutang kepada Ah Long? Kenapa tidak mengendahkan simptom-simptom penderitaan rakyat yang mengakibatkan depresi dan tekanan jiwa sehingga sanggup membunuh keluarga dan diri mereka sendiri. Tentulah kalau rakyat bahagia dan selesa rakyat tidak akan melakukan perkara yang tidak waras seperti itu!
Paling menyedihkan, rakyat sendiri rela diri mereka diperbuat seperti ikan duri yang diberi umpan menurut masa yang sesuai bagi pengailnya yakni mengikut jadual pilihanraya. Mereka ini diumpan dengan wang RM50 atau lebih, dengan 'trip' melancong atau kadang-kadang semurah secawan kopi sekeping roti canai. Mereka diulit dengan segala cerita rekaan kebagusan parti pemerintah yang tidak langsung mereka ketahui kesahihan cerita tersebut. Minda mereka dikuasai oleh ahli strategi media arus perdana yang dibawah arahan parti pemerintah. Dengan sedikit umpan dari segi material dan layanan ini maka terpedayalah rakyat biasa yang kurang pengetahuan dan tidak terdedah kepada sumber informasi yang tepat dan benar. Hasilnya ikan duri termakan umpan pada setiap kali pilihanraya. Namun selepas sahaja pilihanraya umum, rakyat mula didera dengan kenaikan harga barang keperluan harian, tol, kos persekolahan dan kehilangan pekerjaan. Rakyat setinggan dihalau tanpa pembelaan. Namun ikan duri masih tidak serik lagi. Sudah berkali-kali terkena mata kail BN yang tajam tetapi masih juga termakan dengan kata-kata manis BN.

Di manakah golongan intelektual yang mampu merubah sikap dan minda keluarga, rakan taulan serta orang kampung mereka?!

No comments: